Selamat Datang ke ...

Selamat Datang ke ...

Khabar dari Situ Sana Sini

Wednesday, November 11, 2009

Apa Sebenarnya Berlaku Disebalik Kejadian Keganasan Penonton Di Stadium Bukit Jalil.


AMPANG - Tahniah diucapkan kepada Pasukan Negeri Sembilan kerana menjuarai Piala Malaysia edisi yang ke 84 pada 7hb November 2009. Saya sebagai pemerhati bolasepak ingin memberi komen terhadap kejadian yang berlaku di Stadium Bukit Jalil pada hari tersebut.

Saya berada disekitar stadium seawal pukul 11 pagi kerana ingin melihat sendiri kemeriahan suasana sebelum pertandingan. Apa yang dilihat, pihak FAM, Pengurusan Stadium dan Polis yang dari awal mengetahui tiket sudah terjual 85,000 keping tidak mengambil kira kedatangan penonton yang datang dari jauh.

Penonton yang kebanyakannya datang dengan keluarga, ada yang membawa anak kecil. Selain daripada khemah untuk gerai yang menjual jersi dan cenderamata, tiada khemah atau tempat yang tertutup lain di luar stadium disediakan untuk penonton berteduh. Semua sudah maklum yang tiap-tiap petang hujan lebat akan berlaku di Lembah Kelang.

Suasana yang tenang pada mulanya telah bertukar menjadi sedikit tegang apabila petir dan kilat sabung menyabung tepat jam 3.30 petang. Penonton yang tiada tempat yang hendak dituju terpaksa berasak-asak kearah pintu masuk stadium dengan harapan pintu dibuka segera. Tiada tujuan lain selain untuk berteduh daripada hujan lebat. Pihak polis dan pengurusan stadium macam buat tak nampak saja apa yang berlaku diluar sana.

Padahal anak-anak kecil terpaksa berasak-asak ditengah-tengah lautan manusia. Hujan turun selebat-lebatnya pada jam 4.00 petang. Semua berada didalam risiko disambar petir atau pun lemas dipijak. Semua pihak yang tengok dari dalam stadium hanya memandang sinis hanya kerana mereka tersebut adalah penonton Kelantan yang sememangnya di anak tiri dalam segala hal.

Pada pukul 4.30 petang suasana tidak berubah, hujan makin lebat, penonton tiada pilihan selain menggoncang dan merempuh pagar. Pagar yang dirempuh akhirnya terbuka dan seramai kira-kira 5000 penonton bolos. Pada ketika itu, hanya ada 3 orang polis yang bertugas. Tidak seperti yang digembar-gembur kan dalam berita TV dan Radio sehari sebelum nya yang kira-kira 1500 polis akan bertugas. Disitulah “turning point” kesilapan terbesar yang berlaku, penonton yang masuk tanpa diperiksa oleh pihak pengurusan stadium, FAM, polis dan RELA, membawa segala-galanya.

Suka saya bertanya, siapa yang salah dalam hal ni dan siapa yang menjadi tuan rumah didalam perlawanan akhir ini? Pintu akhirnya berjaya ditutup kembali oleh pihak polis pada pukul 5.00 petang. Mulai daripada pukul 5.00 petang baru lah penonton yang berada diluar dibenarkan masuk melalui “official gate”. Tetapi apa yang menyedihkan, beg-beg tidak diperiksa. Ini tidak seperti Perlawanan Akhir Piala FA tempohari di mana beg-beg diperiksa dengan begitu rapi, air mineral berbotol tidak dibenarkan masuk. Tapi pada malam tersebut, bukan setakat tidak memeriksa botol air mineral, beg dan mercun, malah air mineral dijual terbuka di dalam stadium.

Tindakan pro-aktif dari pihak FAM dan Pengurusan Stadium Bukit Jalil perlu, berdasarkan pengalaman yang lepas semasa Pertandingan Akhir Piala FA dimana ianya juga membabitkan Pasukan Kelantan. Atau pihak FAM menunggu perkara ini berlaku dan akan menuding jari serta-merta kepada pihak KAFA.

Apa salahnya “official gate” dibuka seawal jam 3.00 petang untuk mengelakkan kejadian buruk berlaku. Bayangkan 85,000 manusia berada diluar stadium, dan pihak pengurusan Stadium bercadang membuka “official gate” pada pukul 5.30 petang. Kalaulah “official gate” dibuka seawal jam 3.00 petang maka ia memberi ketenangan kepada semua pihak yang terlibat. Pihak polis dan RELA akan mempunyai masa yang cukup untuk memeriksa penonton secara teliti dan ini akan mengelakkan kejadian membawa masuk mercun dan botol air.

Apa yang dilihat, pada pukul 8.45 malam di mana perlawanan sudah hendak bermula, beribu-ribu lagi penonton masih berbaris diluar. Di dalam hati setiap penonton yang berbaris tersimpan “eagerness” yang tinggi untuk menonton perlawanan tersebut. Ini menimbulkan “creating un-necessary tension” terhadap penonton yang masih berada diluar dikala wisel perlawanan dibunyikan. Kenapa perkara ini tiada langsung dibenak mereka-meraka yang bertanggungjawab menguruskan perlawanan ini.

Apabila penonton yang bolos akibat dari rempuhan pintu pagar tadi sudah berselerak di dalam stadium, apa lagi yang boleh dibuat oleh pihak pengurusan stadium, FAM dan polis. Mereka hanya menunggu untuk menyalahkan pihak lain. Pihak yang selalu disalahkan ialah KAFA.

Kejadian ini adalah 100% diluar kawalan KAFA. Pihak KAFA tidak boleh dipersalahkan kerana mereka bukan yang menguruskan stadium dan mereka juga bukan tuan rumah.

Memang semua pihak yang hadir termasuk saya sendiri tidak selesa dengan dentuman mercun yang tiada henti dari permulaan sehingga akhir perlawanan. “Semacam berada di Baghdad” kata pengulas sukan Zainal Abidin Rawop. Tetapi apakan daya, bak kata pepatah, membenteras lebih baik dari mengubatinya.

Sekarang, tiada pilihan lain, selain menyalahkan 100% kejadian ini kepada KAFA. Mereka akan didenda tidak kurang dari RM100,000, atau bermain stadium yang kosong atau tidak dibenarkan langsung dari menyertai MSL musim depan. Apabila dilihat dari sudut yang berbeza, “contribution” oleh penonton Kelantan dari segi kutipan tiket, kalau mengambil kira jumlah penonton 65,000 orang, RM 1,300,000 telah berjaya dikutip pada malam tersebut. Tidak termasuk penonton Kelantan yang membeli tiket yang dikhaskan kepada penyokong Negri Sembilan, dan tidak termasuk “consequences cost” seperti jualan jersi, cenderamata, makanan dan minuman pada hari tersebut. Penyokong Kelantan dan KAFA adalah pihak yang kalah dalam segala hal, walaupun kejadian ini boleh dibendung oleh pihak berwajib.

Saya sebagai pemerhati sukan ingin memberi gambaran tindakan yang diambil oleh FAM terhadap KAFA dilihat sentiasa berat sebelah. Contohnya kejadian membakar trak polis di luar perkarangan Stadium Kota Bharu, yang tiada kena mengena dengan penonton (peniaga yang bergaduh dengan polis), pihak KAFA juga disalahkan. KAFA didenda lebih RM100,000 dan tidak dibenarkan beraksi di stadium tersebut untuk beberapa perlawanan. Kerugian setiap perlawanan semasa beraksi di Kuala Lumpur juga ditanggung oleh KAFA.

Berbanding kejadian penonton masuk ke padang dan ingin menumbuk pengadil di Stadium Ismail Nasirudin Shah di Kuala Terengganu, pihak PBNT hanya didenda RM 5,000 sahaja. Kejadian lontar mercun terhadap pemain Selangor (T. Surendran) ketika meraikan jaringan oleh peminat Terengganu, PBNT hanya didenda RM 6,000 sahaja. Tahap keselamatan pagar stadium tersebut juga tidak melepasi tahap FAM, serta kualiti padang yang teruk seperti yang dikomen oleh jurulatih mereka sendiri (Ken Worden) dan Peter Butler, tetapi pihak FAM masih membenarkan perlawanan diadakan di Stadium tersebut. Kalau lah perkara ini berlaku di Kota Bharu, tindakan berlainan akan dilakukan. Kenapa tidak disuruh pasukan Terengganu beraksi di Kuantan yang mempunyai Stadium bertaraf antarabangsa? Kenapa FAM berdiam diri semasa kejadian memecah cermin kereta dan bas penyokong Kelantan di Perlis? Kenapa FAM berdiam diri apabila pemain Kelantan (Farisham) yang menunggu rawatan ditepi padang tercedera dibaling mercun di kepala oleh penonton Perlis ketika perlawanan separuh akhir tersebut, dimana ianya berlaku terang-terangan di saluran TV1 yang dipancarkan diseluruh Malaysia?

Kenapa dilihat “in-consistency” berlaku? Dilihat terdapat keputusan yang “bias” dan bertindak hanya untuk “pleased”kan pihak atasan sahaja. Kelemahan sendiri ditutup rapi. Harus diingat, fenomena bolasepak Malaysia kini kembali diwarnai kerana “turning point” yang dilakukan oleh pihak pengurusan KAFA yang menguruskan secara professional ala EPL dan sokongan peminat-peminat bolasepak Kelantan. Sehinggakan pihak pengurusan Tentera dan KL Plus juga berterima kasih kepada Kelantan kerana peningkatan hasil “gate collection” mereka semasa bertemu Kelantan di Stadium Selayang dan Cheras. Saya berharap pihak FAM membuat pertimbangan yang sewajarnya dan mengkaji dari segenap sudut sebelum menjatuhkan apa-apa hukuman terhadap KAFA.

Sekian, terima kasih.

Ir. Azizan Razak

TGNA melahirkan rasa dukacita atas sikap penyokong Kelantan.


Oleh Ismail Muhamad

TINDAKAN liar segelintir penyokong Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia tidak mencerminkan mereka sebagai anak jati negeri yang terkenal dengan jolokan negeri Serambi Makkah.

Sambil melahirkan rasa dukacita, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata tindakan penyokong yang turut melemparkan botol, mercun dan membakar kerusi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu, tidak sepatutnya berlaku.

“Kita pergi tengok bola untuk beri sokongan dan bukannya mencetuskan tindakan seperti membakar, melemparkan mercun dan botol.

“Saya dukacita dengan apa yang berlaku di Bukit Jalil. Tindakan penyokong Kelantan itu tidak mencerminkan sebagai rakyat Kelantan negeri Serambi Makkah,” katanya ketika ditemui di pejabat Menteri Besar Kelantan di Kota Darul Naim, Kota Bharu, semalam, merujuk tindakan segelintir penyokong Kelantan yang bertindak agresif pada perlawanan akhir antara Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Pada perlawanan itu, Kelantan tewas kepada Negeri Sembilan dengan keputusan 1-3, sekali gus menghancurkan harapan pasukan negeri membawa pulang piala berprestij itu ke Kota Bharu sejak 40 tahun lalu.

Kali terakhir Kelantan ke final Piala Malaysia pada 1970 tetapi kecundang kepada Perak dengan 2-0.

Berikutan kegagalan skuad The Red Warriors itu, segelintir penyokong Kelantan bertindak agresif termasuk membakar kerusi, melemparkan mercun di dalam padang ketika aksi perlawanan masih berlangsung.

Menurut Nik Abdul Aziz, beliau berharap kejadian seperti itu tidak berulang lagi pada masa akan datang kerana ia memberi gambaran dan imej tidak baik kepada Kelantan.

Katanya, penyokong Kelantan sepatutnya tidak melakukan tindakan yang boleh menjejaskan imej mereka kerana tujuan sebenarnya adalah untuk menyaksikan perlawanan bola sepak.

“Sebab itu saya anggap sukan ini riadah dan kita pergi tengok bola sepak untuk beri sokongan kepada pasukan Kelantan yang layak ke final dan bukannya mencetuskan suasana tidak baik,” katanya.

FAM bertanggungjawab kerosakan Stadium Nasional.


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertanggungjawab terhadap kerosakan Stadium Nasional Bukit Jalil yang berjumlah RM214,000 kerana persatuan itu menyewa stadium tersebut, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

"Dalam soal ini FAM yang menyewa stadium, sewaan kepada FAM rendah berbanding sewaan untuk mengadakan konsert dan sebagainya, kerana ini penganjuran sukan.

"Walaupun FAM menjanjikan beberapa peratus daripada kutipan, tetapi mereka juga bertanggungjawab dari segi kerosakan," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata, FAM akan dimaklumkan berhubung jumlah kerosakan yang dinilai oleh Perbadanan Stadium Bukit Jalil dan kos untuk membaik pulih stadium berkenaan akibat tindakan penyokong Kelantan semasa tewas 3-1 kepada Negeri Sembilan pada perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia Sabtu lepas.

Ditanya mengenai cadangan menghadkan jumlah penyokong pasukan yang fanatik dan mempunyai rekod buruk daripada memasuki stadium, beliau berkata langkah itu bertentangan dengan konsep industri sukan.

"Kemajuan sesuatu sukan berkait dengan penonton, kalau ada satu tindakan terlalu keras sehingga menyebabkan orang rasa susah nak tengok, akhirnya sukan-sukan berkenaan akan menjadi hambar," katanya.

Ahmad Shabery berkata, penonton yang membeli tiket memberikan hasil pendapatan kepada sesuatu pasukan itu selain populariti yang dikecapi boleh menarik tajaan syarikat swasta dan hak penyiaran yang tinggi seperti yang berlaku di negara barat. -- BERNAMA

Tuesday, November 10, 2009

MU kalah dengan Chelsea?


Oleh Yusoff A. Rahman

SELEPAS Liverpool, Manchester United pula menjadi mangsa gigitan Chelsea.

Tetapi dengan kemenangan 1-0 ke atas juara bertahan, United, di Stamford Bridge dinihari semalam, apakah Chelsea wajar disebut-sebut akan menjadi juara Liga Perdana England musim ini?

Jawapannya, masih diselubungi dengan tanda tanya.

Sebab, dalam bola sepak moden, soal kecederaan yang berlarutan, kes penggantungan, kemerosotan dari segi tahap permainan secara mendadak, keputusan-keputusan pengadil yang diragukan dan soal berlainan nasib memainkan peranan penting atas kejayaan sesebuah pasukan.

Tetapi pengurus pasukan Chelsea, Carlo Ancelotti, mempunyai jawapannya.

Apa kata Ancelotti?

'Perjuangan dalam pertandingan ini masih jauh sekalipun kami telah memungut tiga mata tetapi kami akan berdepan dengan perlawanan-perlawanan yang sukar.

'Persaingan pertandingan ini bukan melibatkan antara Chelsea dengan United sebab jika Arsenal terus mengecap kemenangan, mereka boleh menjadi saingan,' kata Ancelotti.

Benar, kata Ancelotti.

Tetapi sekurang-kurangnya, Chelsea dengan kemenangan 2-0 ke atas Liverpool pada 4 Oktober lalu dan kemudian United 1-0 dinihari semalam, pasukan dari Stamford Bridge itu telah menewaskan dua pasukan utama musim lalu.

Ini bermakna Liverpool pimpinan Rafael Benitez lebih gerun dengan Chelsea. Ini bererti anak buah Ferguson dalam pasukan United lebih mengkhuatiri Chelsea.

Tetapi untuk berlaku adil kepada Chelsea, pasukan itu mempunyai pakej lengkap untuk bergelar juara.

Pertama, Chelsea mempunyai pengurus pasukan yang berpengalaman.

Kedua, Chelsea mempunyai gabungan pengalaman dan kemahiran yang seimbang. Itu bermakna pasukan itu mantap.

Ketiga, di bawah Ancelotti, permainan Chelsea lebih tersusun.

Tetapi seperti yang disebutkan sebelum ini, dalam bola sepak, faktor pengadil dan nasib memainkan peranan penting dalam perlawanan.

Sebagai contoh, kita lihat apa yang berlaku pada minit ke-76.

Pengurus pasukan United, Sir Alex Ferguson, boleh mempertikaikan keputusan pengadil, Martin Atkinson, kerana memberikan tendangan percuma kepada Chelsea setelah mendapati Darren Fletcher telah mencabar Ashley Cole.

Itu kata Ferguson. Tetapi Atkinson mempunyai pandangan yang berbeza.

Selepas itu, Ferguson juga mendakwa Didier Drogba telah menarik Wes Brown sehingga John Terry memanfaatkan tendangan percuma Frank Lampard melalui tandukan yang mengelirukan.

Dilihat dari sudut United, pasukan itu seperti tidak bernasib baik.

Tetapi United barangkali terlupa Terry bukan orang baru dari segi membuat jaringan.

Dalam kerjayanya sebagai kapten pasukan Chelsea, Terry kerap menjaringkan gol-gol penting pasukannya.

Itu bererti United yang cuai dalam mengawasi Terry. Itu bermakna United yang leka memberikan perhatian kepada kapten Chelsea itu.

Dalam pertarungan itu, United bukan sahaja menguasai permainan 53 peratus bahkan mempunyai 18 percubaan berbanding Chelsea, 12.

Jadi, jika United gagal memanfaatkan beberapa peluangnya, ia adalah kesilapan pasukan itu sendiri.

Ia adalah kesilapan Wayne Rooney. Kelemahan Antonio Valencia. Kegagalan Ryan Giggs. Mudah cakap, kekurangan United dalam pertarungan itu.

Chelsea bukan tiada kekurangannya dalam pertarungan itu. Tetapi ada satu ketika dalam pertarungan itu, Chelsea berjaya mencari sasarannya - bukan melalui Drogba atau Nicolas Anelka tetapi melalui Terry.

Sesungguhnya, inilah kelebihan Chelsea yang paling menonjol dalam pertarungan itu.

Dengan kekalahan tersebut, Ferguson kini bukan sahaja berada di belakang Ancelotti bahkan Arsene Wenger.

DSAI - memberi amaran kepada anggota PKR.


PULAU PINANG: Selepas menghadapi kritikan bertubi-tubi bahawa beliau gagal menumpukan perhatiannya kepada isu-isu parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya memberi amaran kepada para pemimpin dan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya menunjukkan taat setia mereka atau berhenti sahaja daripada parti itu, lapor media setempat.

Dalam satu ucapan beliau pada Konvensyen PKR di sini malam kelmarin, pemimpin de facto parti tersebut berkata beliau boleh menerima kritikan terhadap partinya tetapi tidak boleh berkompromi dengan para pemimpin dan anggota yang tidak mahu mengikut dasar-dasar parti yang ditetapkan.

'Kesemua anggota parti harus menyokong agenda transformasi, bekerja untuk Pakatan Rakyat (PR) atau dipecat daripada parti,' kata Datuk Seri Anwar, yang dipetik dalam laporan laman berita The Malaysian Insider, semalam.

Sumber-sumber dalam parti mengeluh bahawa Datuk Seri Anwar kelihatannya lebih menumpukan perhatian kepada lawatan dan ucapan antarabangsa beliau berbanding menumpukan perhatiannya kepada isu dalam partinya.

Menyentuh hal itu, Datuk Seri Anwar berkata pendiriannya itu dibuat menyusuli permintaan ramai pemimpin PKR yang mahukan tindakan tegas ke atas para anggota yang menyeleweng.

'Berikan komitmen anda kepada parti atau tinggalkan sahaja parti dan sertailah Umno,' tegasnya.

Sementara itu, Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Klang, semalam, mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Encik Badrul Hisham Abdullah, supaya meletakkan jawatannya, demikian menurut satu laporan dalam talian sebuah akhbar arus perdana Utusan Malaysia.

Akhbar itu semalam melaporkan bahawa satu piket aman yang disertai kira-kira 20 orang telah diadakan di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri Selangor.

Encik Badrul Hisham kini menjadi calon Bebas setelah keluar daripada PKR pada hujung bulan lalu dan kini dikatakan menyokong Barisan Nasional (BN).

Malah, laman berita Malaysiakini pula melaporkan bahawa Encik Badrul Hisham telah dilihat duduk di belakang Adun BN apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bersidang semalam. -- Agensi